Tuesday, January 26, 2010

PENGENALAN

SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Bukit Gading ini mula didirikan pada bulan Jun 1959 oleh satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Nawi b. Mat Ali (Imam tua Kampung Bukit Gading). Bangunan ini dibuat dengan kayu bulat, beratap sagu, berdinding buluh dan berlantaikan tanah. Pada masa itu jumlah murid hanya seramai 52 orang iaitu dari Darjah 1 hingga 3.
Sekolah yang didirikan di atas kesedaran rakyat ini telah mendapat perhatian kerajaan, dan dua orang guru telah dihantar untuk bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Gading, guru terbabit ialah En. Harun b. Mohd Nor sebagai Guru Besar dan En. Wan Omar b. Wan Daud sebagai guru penolong.
Oleh kerana pertambahan murid, pihak Jabatan Pelajaran Kelantan telah menghantar guru sebanyak 9 orang termasuk Guru Agama bagi mengajar murid-murid seramai 152 orang ( Darjah 1 hingga 6 ).
Pada pukul 5.00 petang, 3 Ogos 1963 bangunan ini telah roboh kerana dipukul ribut. Murid-murid terpaksa belajar di bawah pokok dan di rumah-rumah kosong. Maka sekali lagi ahli Jawatankuasa beserta penduduk-penduduk kampung berusaha dan berunding dengan pihak-pihak tertentu bagi mendapatkan sebuah bangunan baru. Akhirnya pada tahun 1964 kerajaan telah meluluskan satu bangunan baru bagi menggantikan bangunan yang telah roboh.
Seterusnya, satu majlis Perasmian Pembukaan oleh Yang Berhormat Tuan Hj. Mohd Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia diadakan pada 27 Julai 1965. Beliau meluluskan peruntukan bagi mendirikan dua buah bangunan rumah guru.
Pada tahun 2003, Sekolah Kebangsaan Bukit Gading mendapat bangunan baru iaitu 2 blok bangunan 3 tingkat yang mengandungi kemudahan bilik darjah, makmal, pejabat, pusat sumber, bilik pemulihan, bilik kemahiran hidup, bilik solat, dan dewan terbuka. Ia mula diduduki sepenuhnya pada tahun 2004.

No comments:

Post a Comment